Friday, 25 March 2011

Sedar Akan Kewajipan

Dikisahkan, seorang hamba Allah yang baru saja membeli seorang hamba abdi disebuah pasar untuk menjalankan kerja-kerja dirumahnya.

Sebelum memulakan kerja, si tuan ini bercadang mengadakan sesi suai kenal dengan hamba yang baru dibelinya tadi.

Tuan ini ingin mengetahui siapa namanya, pekerjaan yang boleh dilakukan, makanan kegemaran dan lain-lain perkara yang boleh dibuatnya.

Tuan ini memulakan bicaranya dengan bertanya siapa nama hamba tersebut. 
"Wahai hamba, aku ingin mengetahui siapa namamu" tanya tuan kepada hambanya.

"Ya tuan, apa saja yang ingin tuan namakan terhadapku, aku terima seadanya" jawab si hamba.

"Apakah pekerjaan yang boleh engkau laksanakan" tanya tuan lagi.

"Apa sahaja yang tuan perintahkan kepadaku nescaya akan aku lakukan" jawab si hamba dengan tegas dan penuh yakin.

Si tuan tadi meneruskan pertanyaannya. "Makanan apakah yang menjadi kegemaran engkau wahai hamba".

"Sebarang makanan yang tuan berikan kepadaku nescaya aku akan memakannya" jawab si hamba lagi.

"Dalam kehidupan kamu, apakah yang kamu kehendaki?" tanya tuan lagi kepada hambanya.

"Wahai tuan!, apakah seseorang hamba itu mempunyai apa apa hak terhadap tuannya?." tanya hambanya kembali kepada tuannya dengan penuh kehairanan.

Sampai kepada jawapan tersebut, tiba-tiba si tuan tadi menangis mendengar kata-kata yang diberikan oleh hambanya.

Jawapan tersebut mengingatkan kewajipan dirinya terhadap Tuannya juga, ia itu Allah yang telah menciptakan dirinya dan mengatur kehidupannya.

Kini baru dia tersedar, bahawa dirinya juga adalah seorang hamba yang menghendaki berbuat sesuatu mengikut arahan Tuannya, Tuan diatas segalanya.

Terdiam dia seketika sambil memikirkan rahsia setiap perkataan yang keluar dari mulut seorang hamba yang baru dibelinya.

"Wahai hamba!, engkau betul-betul telah mengajar dan menyedarkan diriku terhadap Tuanku sendiri" jelas si tuan kepada hambanya.

Dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada hambanya, kerana telah mengingatkan dirinya lantas bersyair yang berbunyi;

                                 kalaulah sempurna keadaanku sebagai hambaMu,
                                 yang berkhidmat kepada Mu.
                                 aku tidak mencari kenikmatan,
                                 yang lebih dari itu.
                                 kasihanilah kehinaan dan kebodohanku,
                                 dengan rahmatMu.
                                 aku tahu,
                                 Engkau Maha belas kasihan.

Semuga Allah menganugerahkan kebaikan kepada orang orang yang sentiasa berdoa dan mengingatinya.

Dalam hadis Rasulullah SAW diriwayatkan yang bermaksud:
"Doa itu senjata orang Mukmin"







No comments:

Post a Comment