Sunday 13 May 2012

KISAH PEMUDA BERIBU BAPA BABI


Nabi Musa a.s adalah satu-satunya nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah s.w.t. Setiap kali hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina dan akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Itulah kelebihannya yang tidak terdapat pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga yang akan berjiran dengan ku?"

Allah pun menjawab sambil menyatakan nama, kampung serta tempat tinggal orang tersebut. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa pun turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mencari tempat yang disebutkan. Setelah sekian lama berjalan, akhirnya sampailah Nabi Musa a.s ketempat yang dituju.

Dengan pertolongan penduduk setempat, beliau berjaya bertemu dengan orang yang dimaksudkan. Setelah memberi salam Nabi Musa a.s pun dipersilakan masuk dan duduk menuggu diruang tamu bersendirian.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa a.s. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu, kemudian membawa keluar seekor babi betina yang besar. Nabi Musa amat terkejut melihat tingkah laku pemuda tersebut. "Apa hal pulak?" bisik hati Nabi Musa a.s dengan penuh kehairanan.

Babi itu didukungnya dengan cermat, dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu dilap dengan cermat sampai kering serta dipeluk dan dicium, kemudian dihantar semula kedalam bilik semula. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan, dibersihkan, dilap dan dipeluk cium dengan penuh rasa kasih sayang. Apabila selesai semuanya babi tersebut dihantar semula kedalam bilik.

Setelah selesai barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara apakah agama mu?" tanya Nabi Musa.

"Aku beragama Tauhid" jawab pemuda tersebut.

"Kenapa kamu membela babi kerana kita tidak boleh berbuat demikian" kata Nabi Musa kehairanan.

"Wahai tuan hamba, sebenarnya kedua-dua ekor babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang amat hodoh. Soal dosa mereka dengan Allah, adalah persoalan lain. Aku sebagai anak tetap melaksanakan kewajipanku terhadap mereka. Hari-hari aku berbakti kepada kedua mereka sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka telah bertukar menjadi babi, aku tetap melaksanakan tanggunjawabku kepada mereka" jelas pemuda tersebut kepada Nabi Musa a.s.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar dosa mereka diampunkan dan memohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia semula, tetapi Allah masih belum memakbulkannya lagi" tambah pemuda tersebut.

Maka ketika itu juga, Allah menurunkan wahyuNya kepada Nabi Musa a.s; "Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu nanti di syurga, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibu bapanya. Walaupun kedua ibu bapanya buruk dengan rupa babi tetapi dia masih berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak yang soleh disisi Kami".

Allah juga berfirman yang bermaksud, "oleh kerana dia berada di maqam anak yang soleh di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga".

Itulah berkat anak yang soleh, doa mereka dapat menebus dosa kedua ibu bapanya yang akan masuk ke dalam neraka tetapi dapat dipindahkan ke syurga.

SELAMAT HARI  IBU


Sunday 31 July 2011

SUARA HATI

Pada 30 Jun 2011 rasmilah aku hidup sebagai orang pencen. Kontrek aku bersama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sudah tidak disambung lagi setelah lebih 13 tahun memberikan khidmat bakti kepada masyarakat dalam bidang kepenggunaan.

Perasaan menjadi gelisah sambil memikirkan pengajian anak tunggal aku di Syaria masih belum tamat. Pengajian terpaksa ditanggung sedangkan pendapatan bulanan sudah tiada. Namun begitu setiap kali aku menalifon anak kesayangan ku, setiap kali itu jugalah aku menyebut "tugas Emy belajar, walau apa cara sekalipun tamatkan pengajian dengan jayanya"

Anak ku hanya menjawab "insya Allah abah Emy akan cuba sebaik mungkin" itulah jawapan setiap kali kami berbual melalui telifon.

Minggu pertama sebagai orang pencen, keresahan ku hilang dengan adanya kursus kejurulatihan TOT untuk Rakan Pengguna Daerah Timur Laut. Aku dan Sazali serta dibantu oleh Ridzuan yang melaksanakan kursus tersebut menyebabkan aku terleka seketika. Sepanjang dua hari satu malam kami begitu sibuk dengan berbagai aktiviti yang dijalankan di Kem PLKN Bukit Besar, Kulim, dimana kami berkampong.

Aku agak bernasib baik kerana pengusaha kem tersebut Hj. Razali Wa Daud adalah sahabat yang sudi membantu aku setiap kali kami mengdakan kursus. Beliau akan memberikan bantuan semampu yang dapat bagi melaksanakan program yang aku perolihi.  Orang nya senang untuk dibawa berunding dan mudah memberikan jawapan dengan segera.

Begitu juga dengan Noor Sazali sahabat yang pernah bekerja bersama semasa di CAP dan kini menjadi rakan kongsi setiap program yang kami buat. Beliau amat memahami kegelisahan yang aku tanggung dan sering memberikan galakan. Cuma yang menjadi masalah kerana beliau kini bertugas sebagai Pegawai Penerangan di Sarawak, menyebabkan pergerakan dan tindakan kami agak terbatas. Namun begitu hubungan sentiasa berjalan sama ada melalui telefon atau email.

Masuk minggu kedua perasaan ku tambah gelisah dengan berbagai masalah yang menimpa. Duit kereta perlu dibayar, begitu juga telefon, elektrik, air dan segala macam keperluan. Keadaan makin mendesak dengan perbelanjaan pengajian anak perlu diteruskan. Ini merupakan tahun akhir anak ku belajar di Syaria, dan dengan apa cara sekalipun aku terpaksa berikhtiar bagi menampong perbelanjaan nya diperantauan.

Penghujung minggu kedua aku menerima sepucuk surat yang sangat aku nanti nantikan sekian lama, ia itu surat daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA). Surat yang menawarkan kepada ku tanah pertanian seluas lima (5) ekar di tapak pertanian Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara. Ketibaan surat itu sedikit menghiburkan hati yang runsing dan dapat melepaskan tension yang terpendam di kepala.

Namun apa yang menjadi persoalan, apakah mampu aku melakukan perubahan ini daripada seorang yang bekerja kepada seorang petani. Lama aku berfikir dan akhirnya aku membuat kesimpulan bahawa "pertanian merupakan satu perniagaan" yang disebut Tan Sri Muhyiddin Yasin suatu ketika dulu adalah benar.

Sepanjang dua minggu otak ku bekerja keras memikir dan menghubungi berbagai ejensi bagi mendapatkan gambaran bagaimana memajukan tanah tersebut. Aku hubungi Lembaga Nenas bertanyakan bantuan dan pasaran. Aku ke Jabatan Veterina bagi mendapatkan maklumat mengenai penanaman rumput sebagai bahan makanan haiwan peliharaan. 

Aku juga cuba mendapatkan maklumat cuaca dari Jabatan Kaji Cuaca mengenai jumlah taburan hujan sebagai persediaan menanam keledek. Dalam masa yang sama aku juga mendapatkan maklumat dari pekebun berbangsa Cina, apakah tanaman yang paling sesuai ditanam dikawasan tersebut.

Semuanya memberikan jawapan yang berbagai untuk aku berfikir dan bertindak dengan lebih matang. Begitu juga dalam Islam, kewujudan Mazhab itu bukan untuk menyusahkan, bahkan membolehkan manusia berfikir dan bertindak mengikut syariat. Semua itu bagi mempermudahkan kehidupan harian manusia.

Dalam Islam kita diajar redha dengan ketentuanNya. Oleh itu bila aku ditamatkan pekerjaan oleh CAP, mungkin ada hikmah disebaliknya. Walaupun kegelisajhan tidak tertanggung, tapi aku dapat bertahan dengan membaca ayat ayat suci AlQuran di setiap pagi dan malam. 

Aku teringat sebuah cerita dimana seorang raja terluka jarinya terkena pisau ketika makan bersama menterinya. Lalu raja bertanya kepada menterinya apakah alamat kejadian tersebut. 
Menterinya menjawab "itu suatu pertanda yang baik tuanku"

Raja menganggap jawapan menterinya bertujuan mengampu dan dengan marah raja mengusir menteri tersebut dari istana. Namun raja menjadi pelik, bila menteri mengucapkan terima kasih dan mengatakan  ini suatu petanda yang baik dan terus berlalu.

Pada suatu ketika raja telah pergi berburu dengan panglima tanpa kehadiran menteri. Ketika di hutan berlaku ribut taufan menyebabkan raja terpisah dan tersesat dari kumpulannya. Raja mencari jalan pulang tapi tidak berjumpa dan akhirnya ditangkap oleh puak orang asli untuk dipersembahkan kepada dewa dewa.

Pada hari nak dikorbankan semua orang asli berhimpun dan diperiksa sekali lagi keadaan raja tersebut. Setelah diperiksa didapati jari raja berkenaan terdapat parut luka yang menyebabkan ia tidak layak untuk di persembahkan kepada dewa dewa kerana terdapat kecacatan. Pada pandangan puak orang asli pengorbanan mesti yang sempurna segala nya dan akhirnya raja tersebut dilepaskan.

Semasa berjalan pulang, raja berfikir inilah agaknya yang dikatakan oleh menterinya sebagai satu  pertanda baik. Namun raja masih bingung bila menterinya diusir masih mengucapkan terima kasih dan  dan berkata itu juga  sebagai pertanda baik.

Sesampai di istana raja memerintahkan supaya menteri dicari dan dibawa mengadap. Raja meminta supaya menteri bekerja semula di istana kerana apa yang dikatakan oleh menteri itu benar bukan bertujuan mengampu. Raja bertanya kepada menterinya "Beta percaya apa yang Memanda Menteri katakan  tempohari tapi beta masih muskil bila memanda menteri diusir masih mengatakan itu pertanda yang baik"

"Tuanku, jika patik tidak diusir dulu tentulah patik juga akan tersesat dan ditangkap bersama tuanku dan jika tuanku dilepaskan kerana parut luka, tentulah patik sebagai ganti korban" jawab menteri

"Jadi suatu pertanda baik bila patik diusir dari istana, jika tidak tentu tuanku terlepas patik akan menjadi korban pada dewa dewa mereka" kata menteri bersungguh sungguh.

Mengingatkan cerita tersebut aku yakin walaupun kontrek ku tidak disambung oleh CAP, tentu ada sesuatu hikmah yang hanya Allah sahaja yang mengetahui. Aku redha dengan ketentuan Nya dan sentiasa berserah kepada takdir.

Kini sebulan telah berlalu, aku masih berusaha mencari sesuatu bagi meneruskan hidup  bersama keluarga tersayang. Hidup ku dan mati ku adalah untuk keluarga yang selama ini menjadi keutamaan dalam setiap perbuatan. Tiga insan yang menjadi kebanggan, isteri, anak dan ibu yang masih sihat adalah segala galanya, yang sentiasa mendorong dan menjadikan aku masih berdiri disini.

Hari ini 1 Ramadhan dan aku bertekat untuk meneruskan hidup dengan keredhaan Mu ya Allah. Aku akan berusaha sedaya mungkin menunaikan perintahMu sambil berusaha memajukan diri dalam menempuh hari hari mendatang.

Mengenai tanah lima (5) yang diperolihi dari PERDA akan dicoretkan kemudian nanti. Selamat Menunaikan Ibadah Puasa Sepanjang Ramadhan dan Muga Segala Usaha Akan Mendapat Keberkatan. Amin.......


Friday 25 March 2011

Sedar Akan Kewajipan

Dikisahkan, seorang hamba Allah yang baru saja membeli seorang hamba abdi disebuah pasar untuk menjalankan kerja-kerja dirumahnya.

Sebelum memulakan kerja, si tuan ini bercadang mengadakan sesi suai kenal dengan hamba yang baru dibelinya tadi.

Tuan ini ingin mengetahui siapa namanya, pekerjaan yang boleh dilakukan, makanan kegemaran dan lain-lain perkara yang boleh dibuatnya.

Tuan ini memulakan bicaranya dengan bertanya siapa nama hamba tersebut. 
"Wahai hamba, aku ingin mengetahui siapa namamu" tanya tuan kepada hambanya.

"Ya tuan, apa saja yang ingin tuan namakan terhadapku, aku terima seadanya" jawab si hamba.

"Apakah pekerjaan yang boleh engkau laksanakan" tanya tuan lagi.

"Apa sahaja yang tuan perintahkan kepadaku nescaya akan aku lakukan" jawab si hamba dengan tegas dan penuh yakin.

Si tuan tadi meneruskan pertanyaannya. "Makanan apakah yang menjadi kegemaran engkau wahai hamba".

"Sebarang makanan yang tuan berikan kepadaku nescaya aku akan memakannya" jawab si hamba lagi.

"Dalam kehidupan kamu, apakah yang kamu kehendaki?" tanya tuan lagi kepada hambanya.

"Wahai tuan!, apakah seseorang hamba itu mempunyai apa apa hak terhadap tuannya?." tanya hambanya kembali kepada tuannya dengan penuh kehairanan.

Sampai kepada jawapan tersebut, tiba-tiba si tuan tadi menangis mendengar kata-kata yang diberikan oleh hambanya.

Jawapan tersebut mengingatkan kewajipan dirinya terhadap Tuannya juga, ia itu Allah yang telah menciptakan dirinya dan mengatur kehidupannya.

Kini baru dia tersedar, bahawa dirinya juga adalah seorang hamba yang menghendaki berbuat sesuatu mengikut arahan Tuannya, Tuan diatas segalanya.

Terdiam dia seketika sambil memikirkan rahsia setiap perkataan yang keluar dari mulut seorang hamba yang baru dibelinya.

"Wahai hamba!, engkau betul-betul telah mengajar dan menyedarkan diriku terhadap Tuanku sendiri" jelas si tuan kepada hambanya.

Dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada hambanya, kerana telah mengingatkan dirinya lantas bersyair yang berbunyi;

                                 kalaulah sempurna keadaanku sebagai hambaMu,
                                 yang berkhidmat kepada Mu.
                                 aku tidak mencari kenikmatan,
                                 yang lebih dari itu.
                                 kasihanilah kehinaan dan kebodohanku,
                                 dengan rahmatMu.
                                 aku tahu,
                                 Engkau Maha belas kasihan.

Semuga Allah menganugerahkan kebaikan kepada orang orang yang sentiasa berdoa dan mengingatinya.

Dalam hadis Rasulullah SAW diriwayatkan yang bermaksud:
"Doa itu senjata orang Mukmin"







Wednesday 16 March 2011

Maqam Imam Nawawi

 Maqam Imam Nawawi dari luar bangunan perkuburan








Pokok yang terdapat diatas perkuburan
Maqam Imam Nawawi  yang berada
didalam bangunan perkuburannya.









Kalimah Allah di pokok (Maqam Imam Nawawi)

Imam Nawawi telah pulang ke rahmatullah pada 24 Rejab bersamaan 676 Hijrah setelah menderita sakit di rumah ayahandanya di kampong kelahirannya Nawa, Syria.
Sepanjang hidupnya selama 45 tahun, beliau telah banyak menghasilkan buku-buku yang menjadi rujukan  umat Islam hingga sekarang.
Diantara karya beliau adalah Syarah Sahih Muslim, al-Adzkar, al-Arba'in, al-Iidhah fil-Manasik - juga tiga kitab manasik selain kitab ini - at-Tibyan fi Adabi Hamalatil Quran.
Syarhul-Muhadzdzab ila Babil-Mishrat (empat jilid), syarah sebahagian hadis Sahih al-Bukhari, sebahagian kitab al-Wasith, sebahagian kitab al-Ahkam dan banyak lagi tentang tingkatan ahli fiqh serta lain lain.
Pada malam 27 Ramadhan ketika Imam Nawawi berusia tujuh tahun tatkala tidur di sisi ayahandanya beliau terjaga dan terbangun seraya berkata.
"Wahai Ayah, cahaya apakah ini yang memenuhi seluruh rumah kita?" 
Seluruh anggota keluarga terbangun, tetapi mereka tidak melihat cahaya apa pun di dalam rumah, lalu ayahandanya pun berkata.
"Baru aku tersedar bahawa pada malam tersebut adalah malam Lailatul Qadar".
Imam Nawawi di maqamkan di kampongnya Nawa, Syria, berhampiran perkampungan Busro yang amat terkenal sebagai pusat perniagaan suatu ketika dahulu.
Setelah di maqamkan, tumbuh sepohon pokok diatas pusaranya yang merupakan satu satunya pohon pokok yang terdapat di dunia.
Kini pokok tersebut masih lagi berdiri dengan gagahnya walaupun telah mati dan segala ranting ranting dan dahan dahannya telah di potong.
Dengan kekuasaan Allah, di pohon pokok tersebut terdapat kalimah kalimah Allah yang masih kekal sehingga sekarang.
Menurut penulis, terdapat banyak kalimah kalimah Allah yang masih kekal dan boleh dibaca  masih berada di batang batang dan dahan dahan pokok yang masih tinggal.
Ini jelas dapat di lihat sendiri oleh penulis semasa berada disana selama lapan hari ketika melawat anakanda beliau yang masih menuntut di Syria.
Begitulah kebesaran Allah yang menumbuhkan sepohon pokok yang terdapat kalimah kalimah Allah yang masih kekal hingga kehari ini.
Itulah Maqam Al Imam Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf An Nawawi atau lebih di kenali sebagai Imam Nawawi.
Kata Ibnu as-Subki, ayahku rahimahullah mengucapkan dua bait syair ini untukku diatas kekaguman dan kemuliaannya kepada Imam Nawawi.
                                 Di darul hadis memiliki makna mendalam,
                                 Diatas sejadahnya aku tersungkur,
                                 Semoga panasnya wajahku dapat menyentuh,
                                 Tempat yang disentuh kaki Nawawi.

Semuga Allah memberkati segala usaha yang telah dilakukan oleh beliau dalam menegakkan syiar Islam dan meninggalkan segala ilmu yang bermanafaat untuk umat Islam seluruhnya, amin.

Mesyuarat Agong PKIPM

Sebahagian ahli yang menghadiri mesyuarat agong

Persatuan Kebajikan Insan Penyayang Malaysia (PKIPM) Cawangan Pulau Pinang telah mengadakan mesyuarat agong tahunan kali ke 5, di Komplek Masyarakat Penyayang Pulau Pinang pada 12 March 2011.

Seramai 65 orang ahli yang hadir telah menunaikan tanggong jawab masing masing bagi memilih ahli jawatankuasa bagi penggal 2011/2012.

Majlis tersebut turut di sertai oleh Yang Dipertua PKIPM Kebangsaan Tun Bahardin Mohd Sohor bersama Exco Pusat Encik Abdullah Haji Mahfoz.

Dalam ucapan perasmiannya Tun Bahardin memuji PKIPM Cawangan Pulau Pinang kerana telah berjaya menganjurkan berbagai aktiviti sepanjang tahun 2010.

Ini membuktikan bahawa kometmen AJK PKIPM Pulau Pinang begitu bersungguh sungguh dalam melaksanakan segala aktiviti yang diamanahkan.

Pada mesyuarat itu juga Tun turut mencadangkan agar PKIPM Pulau Pinang menjadi tuan rumah pada mesyuarat agong tahunan peringkat kebagsaan yang akan diadakan pada bulai Mei 2011.

"Dengan inisiatif dari PKIPM Pulau Pinang saya ingin mencadangkan kepada Exco Pusat agar mesyuarat agong tahunan peringkat kebangsaan diadakan di Pulau Pinang" tegasnya mengakhiri ucapan.

Sementata itu Pengerusi PKIPM Cawangan Pulau Pinang, Datin Hajjah Marina Puteh dalam ucapan penangguhannya pula berkata, Pulau Pinang bersedia menjadi tuan rumah pada mesyuarat agong  tahunan peringkat kebangsaan.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua PKIPM Kebangsaan, turut  menyatakan kesediaan  Pulau Pinang  untuk menjadi tuan rumah pada mesyuarat agong tahunan peringkat kebangsaan.

"Bila kita jadi tuan rumah nanti, saya harap semua AJK akan berkerja bersungguh sungguh bagi menjadikan mesyuarat agung tahunan nanti yang terbaik pernah diadakan" tegas beliau.

Majlis ditamatkan dengan jamuan makan tengahari yang turut disertai seluruh ahli yang hadir termasuk Yang Dipertua PKIPM Pusat Tun Bahardin Mohd Sohor bersama AJK yang baru dilantik.

Asas Penulisan Berita.

Peserta sedang menghadiri bengkel penulisan


Seramai 30 orang pelajar tingkatan enam SMK Simpang Empat telah menghadiri bengkel kursus asas penulisan berita pada 22 Januari 2011.

Progran anjuran Kelab Pengguna sekolah tersebut telah diadakan di bilik Pusat Sumber SMK Simpang Empat bermula dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengahari

Menurut Guru Penasihat Kelab Pengguna Cikgu Ahmad Shakir Md Taha, program tersebut mendapat sambutan diluar jangkaan sehingga pihak penganjur terpaksa menolak ramai permohonan untuk menyertainya.

Shakir berkata, tujuan memilih semua pelajar tingkatan enam adalah supaya mereka ini akan menjadi  tenaga penggerak jika majalah sekolah diterbitkan.

"Kita mahu mereka menjadi peneraju utama dalam penerbitan majalah sekolah yang akan diusahakan tidak lama lagi" tegasnya lagi.

Program yang diadakan pada hari sabtu itu telah disempurnakan penutupannya oleh Pengetua SMK Simpang Empat Puan Zainab binti Shafie.

Dalam ucapannya, beliau memuji langkah yang diambil oleh pihak Kelab Pengguna kerana berjaya menganjurkan program seumpama itu.

Menurutnya lagi dengan sambutan yang amat menggalakkan, pihak sekolah bercadang untuk menganjurkannya lagi untuk pelajar pelajar tingkatan empat dan lima pula.

Beliau juga berharap agar persatuan persatuan lain di SMK Simpang Empat tidak menyempitkat ativiti  dengan menjuruskan kepada nama persatuan semata mata.

"Saya berharap persatuan persatuan lain juga akan megikut jejak langkah Kelab Pengguna SMK Simpang Empat ini dalam melaksanakan program program sebegini" tegasnya.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil kepada semua peserta oleh Pengetua sebelum beredar menghadiri jamuan makan tengahari.

Pengetua juga turut mengadakan satu sidang akhbar sempena baru 11 hari menjawat jawatan Pengetua di SMK Simpang Empat.

Ini juga merupakan satu tugasan yang perlu dilaksanakan oleh setiap peserta sebagai latihan amali yang terakhir sebelum meninggalkan dewan.

Dalam sidang media itu, Pengetua memaklumkan mengenai visi dan misi beliau dalam usaha menigkatkan lagi kecemerlangan sekolah tersebut.